Saturday, 23 April 2011

DASAR FIKRAH PERJUANGAN ISLAM

MUQADDIMAH
Perjuangan  Islam pada  hari  ini merupakan warisan perjuangan  dari  Rasulullah  SAW.  Semasa  hayatnya, baginda telah melaksanakan  tugas  perjuangan  dengan  penuh tabah dan ketaqwaan.  Apa yang  diimpikan oleh baginda tidak lain ialah untuk mempastikan Islam terus terbela, berkembang dan memerintah dunia ini.


FIKRAH PARA PEJUANG ISLAM
Sehubungan dengan itu,  kita  bertanggungjawab memahami  tugas  dan  tanggungjawab  serta  membuat persiapan  rapi  bagi  mempastikan  kemenangan  Islam. Firman Allah SWT “Dan siapkanlah bagi  menghadapi   mereka (musuh),   hendaklah   membuat persiapan yang secukupnya sedaya upaya  kamu  dengan  segala  kekuatan yang perlu”.(Al-Anfaal: 60) “Allah telah berjanji kepada orang-orang yang  beriman  di antara kamu dan  mengerjakan  amal-amal yang  soleh  bahawa  Dia  sungguh-sungguh  akan  menjadikan  mereka  berkuasa di bumi, sebagaimana  Dia  telah  menjadikan  orang-orang  yang   sebelum mereka berkuasa”. (Surah An-Nur: 55).Sementara Rasulullah SAW pula bersabda, Diriwayatkan daripada Said bin Burdah dari ayahnya, dari neneknya, sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah mengutusnya bersama Mu’az pergi ke Yaman. Sebelum berangkat Rasulullah s.a.w berpesan, "Permudahkanlah dan jangan mempersulitkan. Sampaikanlah khabar gembira dan janganlah menakut-nakuti. Dan bertimbang rasalah dan jangan selalu berselisih". Daripada Abu Hurairah sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda, "Janganlah kamu mengharapkan bertemu dengan musuh. Tapi jika kamu bertemu dengan mereka maka bersabarlah".Dan Saidina Ali Karramallahu Wajhah berkata, "Perjuangan yang benar dengan  tidak  mempunyaj  strategi yang teratur akan tewas apabila berhadapan  dengan  perjuangan yang batil yang tersusun rapi rapi".



MANHAJ PERJUANGAN ISLAM
Fikrah perjuangan Islam merujuk kepada manhaj (sistem) perjuangan Islam yang menepati ciri-ciri Islami. Perjuangan Islam adalah bermatlamat untuk menegakkan u’budiyyah kepada Allah dan menolak toghut sepenuhnya. Proses perjuangan ini hendaklah dilaksanakan mengikut manhaj yang mengandungi ciri-ciri yang tertentu iaitu:
a. Rabbaniyyah: Rabbaniyyah adalah ciri utama Islam. Ini jelas kepada kita kerana Islam sendiri dari Allah yang bersifat Rabb. Para dua’at merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam menyeru kepada Islam. Allah menjelaskan selagi dua’t berada dalam manhaj Rabbani, mereka terus berada dalam pemelihraanNya:“dan bersabarlah menunggu ketetapan Tuhan, maka seungguhnya kamu berada dalam penglihatan kami” (at-Thur:48).Manhaj Rabbani mampu melahirkan mukmin bersifat Rabbani dari segi i’tikad, pemikiran, cita-cita, percakapan dan perbuatan. Bersifat Rabbani bermaksud beriltizam kepada dasar-dasar perjuangan Islam sepenuhnya.
b. Syumuliyyah: Islam adalah lengkap dan sempurna, tidak terdapat padanya walaupun sedikit kekurangan atau ketidakseimbangan kerana agama ini diturunkan oleh Pencipta Yang Maha Agung.
c. Inqilabiyyah: Inqilabiyyah menurut Harakah Islamiyyah ialah melaksanakan perubahan dengan mencabut jahiliyyah dari akar umbinya, meruntuhkannya dan menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah itu.
d. ‘Alamiyyah: Islam merupakan dakwah ‘alamiyyah merangkumi semua manusia di muka bumi ini. Daulah Islamiyyah tidak akan tertegak jika Harakah Islamiyyah di negara ini tidak mempunyai sifat ‘alamiyyah dalam melaksanakan manhaj mereka sama ada dari sudut keselarasan perancangan, strategi yang menyeluruh, kesepaduan dalam bidang tarbiyyah, kemahiran tenaga kerja dan seumpamanya.


PRINSIP-PRINSIP UMUM DALAM MANHAJ PERJUANGAN ISLAM
Dalam Sirah Rasulullah SAW, terdapat pelbagai bentuk tindakan yang telah dilakukan untuk mencapai matlamat menegakkan Daulah Islamiyyah. Berikut adalah beberapa prinsip umum dari perjuangan Rasulullah SAW:
a) Risalah Dan Jalan Penyampaian Yang Jelas: Firman Allah SWT:“Maka sampaikanlah oleh mu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan kepada mu dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik” (al-Hijr:94) Sirah Rasulullah SAW membuktikan bahawa Rasulullah menyampaikan ajaran Islam secara lansung dan jelas menyatakan bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Justeru itu, manhaj harakah Islamiyyah mestilah berpegang kepada kejelasan risalah dari segi matlamat, kandungan dan cara penyampaian.
b) Bergerak Mengikut Kemampuan: Harakah Islamiyyah hendaklah bergerak mengikut kadar kemampuan tanzim. Kekuatan dan persediaan yang mantap dan bersungguh-sungguh perlu dirancang dan dilaksanakan untuk memenuhi tuntutan al-Qur’an:“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan kuda-kuda yang ditambat (dengan persiapan itu) kamu akan menggetarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang lain selain mereka yang kamu tidak ketahui”. (al-Anfal:60)
c) Melaksanakan Hazar (Waspada): Kaedah ini berdasarkan firman Allah SWT:“Wahai orang-orang yang beriman ambilah langkah-langkah kewaspadaanmu dan majlah berkelompok atau majulah beramai-ramai”. (an-Nisa’:71)
d) Menimbang Kemaslahatan Dakwah Demi Tuntutan Syari’at: Para Ulama’ usul telah menta’rifkan tujuan umum penetapan hukum-hukum syari’at iaitu: “maksud umum daripada syara,’ dalam menetapkan hokum-hukum ialah untuk mewujudkan kemaslahatan manusia dengan memelihara perkara yang dhoruriyyat (tidak boleh tidak) bagi mereka dan menyempurnakan perkara haajiyyat (keperluan) dan tahsiniyyat (kebaikan) bagi mereka”.
Berpandukan kepada maksud umum syari’at Islam ini, maka setiap tindakan yang dilakukan hendaklah menetapi dua prinsip khusus iaitu menolak kemudharatan dan menghilangkan kesempitan. Untuk menepati prinsip ini, Harakah Islamiyyah hendaklah melaksanakan amar ma’aruf nahi mungkar dalam masyarakat dengan menekankan dua faktor penting iaitu berhikmah dalam segala tindakan dan mengambil kira waqi’ (keadaan semasa).
PENUTUP
Demikianlah fikrah dan manhaj perjuangan Islam yang disandarkan daripada tuntutan Nas dan Syara’ untuk sesebuah harakah Islamiyyah mencapai matlamat dan keredhaan Allah SWT dalam menegakkan Daulah Islamiyyah di muka bumi ini.



No comments:

Post a Comment