Monday 5 March 2012

Kita Mulia Kerana Islam




“Wahai Rasulullah(shallallahu 'alaihi wasallam), bukankah kita berada di atas kebenaran?”

Baginda menjawab, “Ya.”

Beliau bertanya lagi, “Bukankah mereka berada di atas kebatilan?”

Rasulullah SAW bertanya pula, “Apa pendapatmu, hai Umar?”

“Kita harus keluar dan mengumumkan diri kita…”



Itulah dia saatnya, Islam disebarkan secara terang-terangan. Saidina Umar, pada hari beliau memeluk Islam, inilah pertanyaan yang diajukan kepada baginda Rasulullah SAW. Sejak itu juga, Rasulullah SAW menggelarnya al-Farouq(sang pemisah), kerana Allah memisahkan antara hak dan batil dengan keIslaman Saidina Umar.

Ibnu Mas’ud r.a. juga berkata, “Kami menjadi orang-orang yang gagah dan mulia sejak Umar masuk Islam.”

Malahan, Saidina Umar r.a. sendiri pernah berkata,

“Kita ini adalah orang-orang yang paling hina lalu Allah memuliakan kita dengan Islam. Kalau saja kita mencari kemuliaan pada selain Islam maka Allah akan menghinakan kita lagi…”

Ya, dahulu kita hina, tapi Allah telah muliakan kita dengan Islam.

INI KISAH KITA

Dahulu, bangsa kita bangsa yang hina dan tidak bertamadun. Tanah Melayu sendiri, diungguli oleh 3 bahasa pertuturan utama. Pertamanya, bahasa Sanskrit, kedua, bahasa Jawa, dan yang terakhir adalah bahasa Melayu. Mengikut catatan sejarah, bahasa Melayu adalah bahasa pertuturan golongan kelas paling bawah sekali dalam masyarakat.

Namun, lihatlah, bagaimana Islam mengangkat martabat bahasa Melayu, sehingga sewaktu zaman kegemilangan Melayu Melaka, bahasa ini menjadi lingua franca, menjadi bahasa pertuturan pedagang-pedagang dari seluruh dunia. Bangsa yang dahulunya lemah dan hina, terangkat kedudukan dan kemuliaannya kerana Islam.

Hari ini, melihatkan keadaan umat Islam, khususnya bangsa Melayu di Malaysia, kita sendiri kadang-kadang ragu dan malu untuk mengaku sebagai seorang Melayu. Hakikatnya, bangsa Melayu ini, jika diteliti sejarahnya merupakan bangsa yang hebat. Bangsa pilihan Allah dalam mengembangkan Islam di Kepulauan Melayu. Sama halnya seperti Allah mengangkat bangsa Arab sebagai bangsa tonggak yang menegakkan Islam di Tanah Arab. Kitalah bangsa yang pernah mulia kerana Islam.

Bila disebut kerajaan Melayu Melaka, bukanlah sebesar Melaka yang kita lihat hari ini. Kerajaan Melaka ketika itu merangkumi Kelantan, Perak, sehinggalah ke Johor di bahagian Selatan. Malah, sewaktu Portugis membakar Kota Melaka, dikatakan kebakaran memakan masa berhari-hari. Bayangkan betapa besarnya kerajaan Melaka ketika itu. Kerajaan yang hebat, bangsa yang dimuliakan Allah dengan Islam dan kemajuan dalam bidang perdagangan.

Inilah sejarah yang telah kita lupakan. Sejarah yang ditutup, agar kita sendiri merasa malu dengan bangsa kita. Agar kita merasa rendah diri, dan tak berkemampuan untuk membangunkan kembali Islam di Tanah air kita.

BAGAIMANA KEMULIAAN KITA DAPAT DIKEMBALIKAN?

Langkah pertama yang harus kita susun dalam agenda memperbaiki keadaan umat Islam dan bangsa kita hari ini adalah, dengan kembali kepada Allah SWT.

“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.” (surah al-Faatir:10)

Kita sedar bahawa agama ini adalah agama yang benar di sisi Allah SWT. Kita juga sedar bahawa kitalah umat yang paling agung. Maka, apa yang harus kita lakukan agar kemuliaan ini kembali kepada kaum Muslimin? Bagaimana kemuliaan ini dapat kembali kepada bangsa Melayu Islam di Malaysia?

Yakinlah bahawa rezeki dan ajal kita semuanya berasa di tangan Allah SWT. Allah juga takkan mengubah nasib kita, melainkan apabila kita semua mengubah diri kita, menuju redhaNya.
Beberapa orang telah pergi menemui seorang isteri yang telah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berjihad di jalan Allah. Mereka berkata kepada perempuan tersebut, “Katakanlah kepada Saidina Umar agar dia tidak mengirim suamimu keluar berjihad. Dari mana kamu mahu mencari sumber untuk member makan anak-anakmu?” Maka, jawab si perempuan tersebut, “Aku tahu bahawa suamiku adalah orang yang biasa makan. Tetapi aku tidak mengetahui dia sebagai pemberi rezeki. Jika orang yang biasa makan pergi, tetapi Sang Pemberi Rezeki masih ada, lalu apa masalahnya?”

Kemuliaan itu pernah menjadi milik kita. Dan ia pasti akan kembali menjadi milik kita suatu hari nanti. Kita bukan bangsa yang malas, bukan bangsa yang layu, bukan bangsa yang mundur. Kita bangsa pilihan Allah yang akan menegakkan kembali Islam di Malaysia dan Kepulauan Melayu. Sama-sama kita usahakan, agar impian ini menjadi kenyataan...ALLAHUAKBAR!





2 comments:

  1. Islam, Dien yang haq yang mampu memecahkan problem-problem manusia. Dengan menerapkan sistem Islam yang kekal dan mabda’ (ideologi) Islam yang adil, maka kita pasti akan meraih kemuliaan. Tetapi apabila hal tersebut kita lalaikan dan telantarkan, maka kita tertimpa kehinaan dan akan dihina.

    ReplyDelete
  2. Benar saudaraku insidewinme,itulah yang berlaku kepada kita umat akhir dizaman ini.Kita menjadi lemah dan hina disebabkan kelalaian kita sendiri yang mengetepikan Islam secara syumul dalam segala aspek kehidupan...Wallahualam...

    ReplyDelete