Thursday 26 January 2012

Dunia dan Kematian

“Segala keinginan duniawi pasti terpadam bilamana mati sentiasa diingatan..”
 Ramai yang takut, seram bila berbicara mengenai mati.. Bila kita cuba bincang atau menyebut mengenai kematian, cepat-cepat mengelak ke topik lain, katanya “ish..jangan sebut la mati-mati ni”.
Sebenarnya, tak salah mengingati mati, malah dengan mengingati mati, keinginan melampau terhadap dunia pasti tertunduk, hati juga akan makin dekat dengan Pencipta Yang Esa.

Nabi bersabda: “Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni sesuatu hidangan.” Berkata seorang sahabat: “Adakah ia lantaran jumlah kita yang sedikit?” Nabi menjawab: “Tidak, sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih-buih ketika berlaku banjir. Allah mencabut rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu.”Sahabat-sahabat bertanya: “Apakah dia al-wahan?” Bersabda Nabi: “Cintakan dunia dan takutkan mati.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.

Tidak dinafikan lagi kebenaran sabda Baginda, umat manusia sekarang amat mencintai dunia,
terlalu risau bila tidak cukup wang, tapi tak risau dengan dosa yang bertambah tak senang duduk bila kerja ofis lambat siap, tapi tak sedikit pun terkilan bila lambat solat sumber pendapatan tak diteliti sumber halal haramnya, yang penting dapat memenuhi kehendak dihati berita kematian seringkali didengar di akhbar, di internet tapi jarang yang diambil iktibar.

Pernah tak tiba-tiba kita teringatkan mati, sungguh menggerunkan bila kematian tiba di saat kita belum bersedia. Contohnya semasa membaca tulisan ini, mesti terbayang difikiran pelbagai tanggungjawab masih belum diselesaikan. Bukan lagi kerje dunia difikirkan, tetapi tanggungjawab sebagai hamba. Adakah dosa dengan ibubapa telah terampun? Sempurnakah solat, puasa, zakat kita sebelum ini?

Jika yang telah berkahwin, apakah tiada lagi kesalahan yang belum dimaafkan oleh pasangan?
Jika sebagai isteri, adakah suami meredhai? Redha Allah terhadap wanita, bergantung juga kepada redha suami terhadapnya. Sungguh menakutkan bila mengingati kematian.
Bagaimana dengan tanggjawab terhadap anak-anak? Adakah sempurna / telah berusaha sedaya upaya mendidik dan menjaga amanah Allah?

Belum lagi difikirkan kemana rezeki kurniaan Tuhan yang dibelanjakan sebelum ini, adakah dibelanjakan ke arah kebaikan atau sekadar memenuhi keinginan dunia? Kerana setiap yang digunakan, pasti dihisab.

Jika mati sentiasa diingatan,
tiada lagi masa dibazirkan,
tiada lagi kekayaan harta diimpikan,
tiada lagi syahwat diturutkan,
tiada lagi nafsu amarah bertandang di hati,
tiada lagi segala-gala yang menjadi asbab Allah dilupakan
 

Bukan pula bermakna dunia perlu ditinggalkan,
tapi berusahalah sedaya untuk mencari bekal diakhirat
Menggunakan dunia untuk jalan ke akhirat..

Ingatlah mati untuk melembutkan hati,
Ingatlah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.

Mati itu pasti!

 
Kematian belum menjemput kita, maka apakah kita telah mengambil pengajaran dari kematian-kematian di sekeliling kita? Dan sesungguhnya, mahu atau tidak, kita juga pasti akan menghadapinya, dan kemudian kepadaNya jua kita dikembalikan.
Wahai orang-orang yang hidup, tidakkah engkau melihat dan memikirkan peringatanNya ini?
Kematian, ramai yang meremehkannya

Entah mengapa, saya hairan, pasti semua tahu dan meyakini bahawa diri ini akan menghadapi mati. Benar? Namun hakikat kebanyakan manusia, mereka hidup merasakan dunia ini abadi, kononnya kematian itu tidak akan datang menjemput mereka. Kenapa saya katakan begitu? Lihat sahaja di dada-dada akhbar dan di media massa. Atau tak perlu lihat jauh-jauh, perhati sahaja insan-insan di sekelilingmu. Betapa banyak gejala sosial yang berlaku? Betapa ramai manusia yang mengejar dunia, kemudian soal dosa pahala diredah begitu sahaja? Hubungan manusia diperalatkan untuk kepentingan diri... Harta dan wang ringgit dikejar-dikejar bagai nak gila, sedang solat dan bacaan Al-Quran tunggang-langgang tanpa jagaan..

Ramai bukan?


Maka suka saya membawa beberapa persoalan ini untuk sama-sama kita hayati. Semoga ia dapat memberi kesedaran dalam diri kita. Cuba fikirkan, 1000 tahun dahulu kau ada di sini? Tidak kan?

100 tahun dahulu?
Bagaimana pula 1000 tahun akan datang, kau masih lagi di muka bumi ini?

100 tahun akan datang?

Dunia ini terlalu sementara bukan?

Lalu, mengapa masih sering, kita mengingkari hakikat kematian di dalam hati kita. Justeru, mengapa masih sering kita menjalani hidup ini seakan-akan merasa hidup ini abadi?

Mengapa? Mengapa Engkau Di Sini?
Dan yang pelik kita tetap mampu riang gembira walaupun selepas melihat kawan atau keluarga menerima musibah kematian ......


" Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya."
- Surah Ali Imran (3): 185 -

Wallahualam...



Tuesday 17 January 2012

Kenapa Allah Ciptakan Neraka?





Ini kisah benar.. kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.


Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para-para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidakmampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, ".....lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya,takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..."


Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka ? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.. Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga.

Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka takada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"


Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:"perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol disyurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak.. takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.

"Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.
Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam. 


Ustaz mengakhiri kata-katanya: "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak.


Sunday 1 January 2012

Apa Kata Mereka Mengenai Islam - Bangkitlah Wahai Umat !

William Ewart Gladstone (1809-1898), bekas PM Britain zaman Queen Victoria pernah mengucapkan "Selagi mereka (umat Islam) berpegang dengan kitab ini, selama itulah mereka bangkit dan kita tidak dapat menundukkan mereka. Oleh itu pisahkan mereka dari Kitab ini". Ucapan beliau sambil mengangkat Al-Qur'an dalam Parlimen Britain ketika membincangkan penentangan umat Islam terhadap penjajahan.

Theodore Hertzel, pencetus idea penubuhan negara Yahudi (menulis buku Negara Yahudi : 1895), "Misi kalian bukanlah mengeluarkan mereka dari Islam, walaupun yang terakhir ini merupakan keberhasilan yang paling gemilang. Tapi lebih pada usaha bagaimana menjauhkan mereka dari Islam. Jadikanlah mereka sebagai orang Islam yang tidak kenal agamanya sendiri, orang Islam yang gemar berfoya-foya, suka dengan kemaksiatan, hidup semata-mata untuk cari harta dan kekuasaan. Jika umat Islam sudah menjadi seperti ini, maka misi kalian sudah berhasil. Laksanakan dan tunaikan misi kalian ini dengan penuh kesedaran" - ucapan di Persidangan Yahudi di Basel, Switzerland : 1897.

Arnold Toynbee menulis dalam bukunya, Islam, Barat dan Masa Depan: “Sesungguhnya kesatuan Islam sedang tidur. Tetapi kita mesti meletakkan di bawah perhatian kita bahawa, orang yang tidur boleh jadi akan bangkit.”

Samuel Zweimer, Ketua Organisasi Kristian dalam satu ucapannya dihadapan para orientalis di sebuah konvensyen, “sesungguhnya peranan Kristianisasi yang menyebabkan negara-negara Krsitian mengutus kamu untuk melaksanakannya di negara-negara Muhammad (negara umat Islam) bukanlah untuk memasukkan orang Islam ke dalam agama Krsitian. Sesungguhnya ini adalah kemuliaan yang mereka tidak berhak untuknya. Sesungguhnya peranan kamu ialah mengeluarkan orang Islam daripada agama Islam supaya ia menjadi satu makhluk yang tiada hubungan yang mengikatnya dengan akhlak yang menjadi pegangan semua ummah dalam kehidupannya. Dengan aktiviti kamu akan jalani, maka kamu telah membentuk tinjauan pra penjajahan di dalam kerajaan-kerajaan Islam. Kamu mesti membekalkan dan mempengaruhi ramai orang bijak pandai dalam kerajaan–kerajaan Islam bagi menjayakan perjalanan di atas jalan yang telah kamu asaskan, iaitu jalan mengeluarkan orang Islam daripada agama Islam. Sesungguhnya kami mahu kamu mempersiapkan satu generasi yang selari dengan apa yang dikehendaki oleh penjajahan iaitu generasi yang tidak mengambil berat terhadap perkara-perkara yang besar, suka bersantai dan malas serta berusaha untuk mencapai kepuasan syahwat dengan apa cara pun. Apabila mereka mengumpul wang, maka ianya hanya untuk kehendak hawa nafsunya dan ianya menjadi matlamatnya dalam kehidupan. Mereka memperelokkan setiap benda demi memuaskan nafsunya. Wahai para penyebar Kristian, apabila kamu lakukan perkara demikian, maka sesungguhnya peranan kamu itu telah sempurna dengan sebaik-baik cara.”

Fidel Castro, pemimpin sosialis Cuba mengutarakan sebuah nasihat kepada ahli-ahli diplomatik Israel dengan meluangkan masanya selama 2 jam sebagaimana yang terdapat dalam akhbar Grama, Cuba. Di dalam majalah utama Cuba, Castro berkata kepada mereka, “Israel mestilah tidak membiarkan gerakan perjuangan Palestin yang mengambil rupa (dasar) Islam kerana tindakan gerakan-gerakan ini mengambil karakter aqidah dan menjadikannya unggun api semangat yang biasanya ada di dalam masyarakat Islam. Semangat keagamaan Arab ini akan memikat pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain yang seterusnya akan menyebabkan mustahil bagi Israel untuk menjaga kepentingannya. Israel juga mesti berusaha untuk menjadikan setiap Negara Arab disekitarnya sebagai negara yang berpaksikan dasar sosialis. Sesungguhnya pusingan terakhir bagi mana-mana gerakan penentangan Arab yang mempunyai ciri-ciri sosialis ialah kewujudan bersama Arab yang aman bersama negara sosialis Israel.”

Callaghan, bekas PM Britain menggambarkan ketakutannya terhadap agama Islam yang berkembang pesat di Britain dimana radio Britain telah mengadakan wawancara pada tahun sebelumnya bersama bekas PM Britain tersebut. 

Juru hebah bertanya beliau tentang topik-topik penting yang akan dibincangkan di konvensyen empat penjuru Guidelope. Jawabnya, “di antara topik-topik tersebut adalah tentang Iran”. 

Sambil menyambung katanya kepada juru hebah tersebut, “persoalan Iran mempunyai akar umbi yang dalam. Akar umbi itu yang menyebabkan kita membuat kajian tentang keadaan Turki, Pakistan dan Timur Tengah.”

L
alu juru hebah meminta beliau menambahkan penjelasannya. Jawabnya secara ringkas, “ boleh jadi payah untuk kamu memahami apa yang berlegar di kawasan-kawasan ini. Tetapi sebagai seorang pengamal Kristian yang patuh, maka saya katakan kepada kamu, sesungguhnya di sana terdapat agama yang memusuhi kita di sini yang dirasakan dan diketahui benar-benar oleh penganut Krsitian tulen. Inilah apa yang akan kami bincangkan dalam konvensyen tersebut”.

Jewish Cronical, majalah Yahudi Britain mengingatkan tentang kebangkitan pemuda-pemuda Islam, lebih-lebih lagi di universiti-universiti Arab dan Islam. Katanya dalam rencana bertajuk Jihad Pada Jalan Islam, “pakar-pakar strategi politik Barat akan memperakui kekurangan analisis politik mereka jika mereka membiarkan seruan-seruan yang semakin meningkat yang dihadapi oleh akademi-akademi dan universiti-universiti tempatan di dalam dunia Islam, seperti dibuat semakan terhadap manfaat beragama dan kembali kepada pengajaran Islam yang asas.”

Lawrence Brown, “pemimpin-pemimpin kita menakut-nakutkan kita dengan pelbagai bangsa. Tetapi selepas eksperimen, kita tidak dapati rasionalnya terhadap ketakutan-ketakutan tersebut. Mereka menakut-nakutkan kita dengan bahaya Yahudi, Jepun dan Bolshevik, tetapi ternyata kepada kita bahawa Yahudi adalah kawan-kawan kita, Komunis Bolshevik adalah konfiderasi kita, begitu juga dengan Jepun, terdapat Negara-negara besar demokrasi yang menguruskan penentangannya. Tetapi kami dapati bahawa bahaya sebenar terhadap kita terdapat dalam Islam, dalam kekuatannya untuk berkembang serta menguasai dan dalam ketahanannya yang menggerunkan.”

Morro Byger menulis dalam bukunya Dunia Arab Masa Kini, “sesungguhnya ketakutan kita terhadap umat Arab dan perhatian kita terhadap mereka bukanlah lahir daripada kewujudan petrol yang banyak. Tetapi kerana sebab Islam. Wajiblah memerangi Islam bagi menghalang kesatuan Arab yang soleh yang boleh membawa kepada kekuatan mereka, kerana kekuatan Arab akan sentiasa beriringan dengan kekuatan Islam, kemuliaannya dan perkembangannya.”

Pemimpin Tertinggi Freemason, “kita hendaklah menguasi golongan wanita. Apabila kita berjaya menguasai mereka, maka kita sogokkan mereka dengan perkara-perkara yang haram. Kita juga hendaklah memisahkan pasukan tentera mereka daripada agama.”

Pemimpin Tertinggi Imprealis, “arak dan nyanyian merupakan dua unsur yang mampu menghancurkan ummat Muhammad dengan berkesan berbanding 1000 laras meriam, maka untuk itu tenggelamkanlah mereka ke dalam kancah maksiat dan materialistik.”

Karl Marx, pengasas ideologi sosialis ketika ditanya tentang pengganti kepada akidah ketuhanan, beliau menjawab, “penggantinya ialah teater (panggung drama dan filem), maka palingkan mereka yang sibuk dengan amalan kerohanian kearah pementasan drama.”

Miyen, seorang pemimpin di Burma, “jangan biarkan orang-orang Islam bebas bergerak kerana mereka akan membangunkan kembali kerajaan Arab (kerajaan Islam).”

10 Rancangan Kuffar Hancurkan Islam

1) Lenyapkan sistem pemerintahan Islam.
2) Menghapuskan Al-Qur'an.
3) Hancurkan akhlak Muslim, fikiran, hubungan mereka dengan Allah dan bebaskan mereka mengikut hawa nafsu.
4) Lenyapkan kesatuan kaum Muslimin.
5) Ragukan kaum Muslimin terhadap agamanya.
6) Lemahkan bangsa Arab.
7) Dirikan negara diktator di dunia Islam.
8) Pisahkan kaum Muslimin dari menguasai perindustrian dan biarkan mereka hancur dengan barangan Barat.
9) Singkirkan tokoh-tokoh Islam dan tamatkan Gerakannya.
10) Rosakkan wanita dan kembangkan pergaulan bebas.

Renungkanlah.