Saturday 11 August 2012

Riak : Suatu Penyelewengan Ibadat



 
Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah sepertisebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untukmenyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan. (Al Baqarah 2:265)
Ikhlas
Keinginan kepada kemahsyuran terhadap amal ketaatan merupakan penyakit hati. Ianya adalah penyimpangan terhadap niat yang sepatutnya dilaksanakan semata – mata kerana Allah S.W.T Ketidakikhlasan ini digolongkan sebagai syirik kecil seperti yang dinyatakan Rasulullah S.A.W. Sekiranya, tiada keikhlasan, maka terwujudlah satu sifat riak di dalam hati manusia. Kesan daripada sifat ini akan mengakibatkan amalan yang dilakukan menjadi sia – sia sehingga tidak tergolong di dalam ibadah, malah, menjadi maksiat. Amat malang jika sesorang hamba ditimpa penyakit ini dan tidak menyedari serangannya yang masuk secara halus ke dalam hati manusia.
Menghadapi Sifat Riak
Hawa nafsu seringkali mengajak manusia ke arah kedurhakaan. Ia selalu mengambil tempat di dalam segala urusan manusia samada di dalam hal ehwal ketaatan atau kemaksiatan. Ibaratmusuh di dalam selimut, begitulah jika hendak diibaratkan kehadiran nafsu di dalam diri manusia. Bagaimana nafsu mengambil tempat didalam soal kemaksiatan? Ianya mudah dikenal kerana kebiasaannya kelazatan maksiat selalu berakhir dengan bencana. Itulah pengaruh nafsu di dalam maksiat. Bagaimana pula nafsu mengambil tempat di dalam soal ketaatan? Nafsu yang mengambil tempat di dalam ketaatan amat sukar dikesan kerana ianya sangat halus gerakannya sehingga sukar dikesan melainkan kewaspadaan seseorang mengenainya.  Apabila ketaatantidak disertai keikhlasan atau berpaling kepada keduniaan, maka ianya wujudlah sifat riak. Inilah tempat nafsu di dalam ketaatan.
Solah
Rasulullah S.A.W pernah bersabda, syirik (riya’) itu lebih samar daripada semut yang berjalan di atas batu hitam pada malam yang gelap.
Keikhlasan bukanlah suatu tugas yang mudah. Itulah sebuah kenyataan bagi seseorang hamba yang biasa seperti kita. Bibir mungkin mudah menyatakan ikhlas. Tetapi di hati hanya Allah yang tahu. Oleh sebab itu, kita dianjur berdoa dan menyerahkan segala pujian kepada Allah s.w.t. sebagaimana Nabi Yusof a.s ketika menerima pujian.  Baginda mengucapkan, ” Haa za min fodhlirobbi” yang bermaksud “semuanya ini (kelebihan) adalah kurniaan daripada Tuhanku (Allah).” sambungannya lagi, “untuk menguji aku samada aku syukur atau kufur.” Begitulah contoh terbaik untuk dijadikan ikutan, betapa murninya adab nabi Yusof kepada Allah SWT ketika baginda menerima pujian lantaran kelebihannya membuka tabir mimpi salah seorang sahabatnya ketika dipenjara.
Oleh kerana serangan 2 penjuru, iatu serangan syaitan dan nafsu, maka, agak sukar hamba yang biasa seperti kita untuk menghindiri sifat riak. Tetapi, Allah s.w.t tetap memandang usaha yang bersungguh-sungguh untuk menghindarinya.
Yusof Bin Al Hassan Al Razi berkata mengenainya dirinya yang sukar menghindari sifat riak :
Sesuatu yang amat berharga di dunia ini ialah ikhlas. Berapa kali aku bersungguh – sungguh untuk menghilangkan riak di dalam hatiku, tiba – tiba ia tumbuh di dalam ceruk yang lain.
Sesungguhnya, kekuatan untuk menghadapi sifat ikhlas adalah anugerah daripada Allah S.W.T jua. Allah sahajalah yang boleh menganugerahkan suatu sifat kewaspadaan tatkala penyakit riak menjengah di sebalik amalan ketaatan, maka, kewaspadaan itulah yang akan menjadikan seseorang hamba Allah kembali memperbetulkan niat asalnya dan menyerahkan kembali segala pujian yang diberikan kepada Allah S.W.T.
Tanda Keikhlasan
Al Haris Al Mahasabi R.A ketika ditanya mengenai tanda orang yang sungguh-sunguh ikhlas kepada Allah,
Seseorang yang benar – benar ikhlas iaitu yang tidak menghiraukan nilaian sesama manusia, asalkan ia sudah benar hubungan dengan Allah dan tidak ada orang yang mengetahui walaupunsekecil debu daripadaamal kebaikan, dan tidak takut jika ada orang mengetahui amal perbuatannya yang tidak baik sebab jika ia enggan untuk diketahui orang mengenai keburukannya, berertiia ingin dipuji atau besar didalam pandangan orang, dan itu tidak termasuk kelakuan atau akhlak orang yang benar-benar ikhlas.
Maka, mampukah kita menghadapi sifat riak ini? Kata kuncinya ialah BERWASPADA.
Wallahualam.

Rujukan : Al Hikam, karangan Syeikh Ahmad Ata'Allah Al Iskandary,
terjemahan oleh Tuan Hj Salam Baharish (1983)

Kelebihan Berjihad Dan Keluar Berjuang Di Jalan Allah SWT.

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:



Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah akan memberi jaminan kepada orang-orang yang keluar (berjuang) di jalan-Nya. Sesungguhnya orang yang keluar untuk berjihad hanya kerana iman dan ikhlas kepada Allah, maka Allahlah yang akan memberi jaminan untuk memasukkannya ke dalam Syurga atau akan mengembalikannya semula ke rumah, beliau juga keluar dengan mendapat pahala atau harta rampasan. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya. Pada setiap bahagian tubuh yang terluka di jalan Allah akan diperlihatkan oleh-Nya pada Hari Kiamat. Ketika beliau terluka warna darah dan baunya adalah seperti minyak kasturi. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya, jika peperangan itu memang tidak berat bagi kaum Muslimin, sudah tentu aku tidak akan meninggalkan pasukan yang turut berperang pada jalan Allah tetapi aku sendiri tidak mampu memberikan kenderaan kepada mereka dan keadaan mereka sendiri juga seperti diriku yang tidak mampu. Mereka sendiri sebenarnya masih merasa keberatan dan tidak dapat berangkat bersamaku. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya. Sesungguhnya aku lebih suka seandainya aku berperang di jalan Allah lalu terbunuh, lalu aku dihidupkan kemudian berperang lagi dan terbunuh, kemudian aku dihidupkan dan berperang lagi dan akhirnya terbunuh lagi.

-(Hadis Riwayat Muslim)
-Bab Kelebihan Berjihad Dan Keluar Berjuang Di Jalan Allah SWT.