Thursday 8 December 2011

Apa Sebenarnya Berlaku Di Syria?

Perkongsian Antarabangsa Syria
SERDANG – Syeikh Dr Khalid Hassan Al-Hindawi, pembantu khas Dr Yusuf al-Qardhawi, telah diamanahkan Ketua Ikatan Ulama Islam Antarabangsa itu untuk memberitahu berita dan hal sebenar yang berlaku di Syria.
Beliau yang baru sahaja melawat Indonesia diminta oleh Dr Yusuf al-Qardhawi untuk ke Malaysia. Seperti mana revolusi yang sedang berlaku di Yaman dan Syria, beliau juga mengharapkan agar di Malaysia juga berlaku perubahan yang lebih baik khususnya dalam kalangan umat Islam.
Di Indonesia, Syeikh Khalid telah menerangkan berkenaan isu Syria di beberapa tempat, dan kemuncaknya, beliau bertemu dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono ditemani sahabat dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Setelah menerangkan kisah sebenar, akhirnya Presiden Susilo telah bersetuju untuk menyokong revolusi rakyat Syria.
Menurut beliau, revolusi bermula di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar lain seperti di Dar’aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat di Syria menentang pemerintahan kejam Basyar Al-Assad.
Tambahnya, golongan zalim tidak berhenti mengaburkan kebenaran, tapi mereka gagal, seperti kata Ali r.a. "Pemerintah yang batil (zalim) itu hanya sementara tetapi pemerintah yang benar kekal selamanya.”
Kata-kata Ali r.a. bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam surah al-Israk ayat 81:
“Dan katakanlah: ”Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.”
Perkongsian Antarabangsa Syria
Perkongsian Antarabangsa SyriaPerkongsian Antarabangsa Syria
Perkongsian Antarabangsa Syria

Dr Khalid melihat kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan orang yang sepertinya sekarang berpolitik ala Firaun seperti mana yang dilakukan oleh pemerintah Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya. Mereka mencuri harta-harta rakyat dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan rakyat sendiri, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita-wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.
Dan mereka ini tidak akan kekal seperti dalam surah ar-Ra’d ayat 17:
“Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”
Beliau menceritakan latar belakang sejarah Syria, yang merdeka daripada penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh anaknya, Basyar Al-Assad yang kini memerintah selama 11 tahun.
Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator. Syeikh Khalid menceritakan tentang konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari, mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama yang merupakan penganut Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Komposisi rakyat Syria: 6% darinya adalah Syiah Alawiyah, 10% beragama Kristian dan 84% Muslim ASWJ. Iran mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Hafez yang merupakan Syiah Alawiyah. Beliau seterusnya menyebut sifat-sifat Syiah yang begitu membenci ASWJ, menghina Khulafa Ar-Rasyidin dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria.
“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk membela darah pemuda, pemudi dan huffaz. Kita kena sokong revolusi di Syria, kena tunjukkan keberanian kita menentang rejim zalim ini.
“Mereka membenci ASWJ, dan Hizbullah di Lubnan juga menyokong mereka. Jadi kita perlu menyokong saudara kita di Syria. Sekiranya Hizbullah berani menyokong Basyar ini, kenapa kita tidak berani menyokong golongan yang mempelopori revolusi ini?” tegasnya.
Fakta kekejaman rejim Basyar terhadap revolusi di Syria sekarang menunjukkan kematian 8,500 orang penyokong revolusi, 39,000 orang cedera, sementara 19 doktor serta 40 orang pesakit sebuah hospital di Doma dibunuh dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa yang mana 413 orang darinya mati dalam tahanan.
Dalam tempoh lapan bulan, telah berlaku revolusi siang dan malam, rakyat menghadapi senjata berat dan kereta kebal hingga rumah dan masjid dirobohkankan, wanita dibawa ke tempat yang tidak diketahui, malah ada wanita yang diperkosa di hadapan suami mereka sambil diikat.
Menurut Syeikh Khalid lagi, seorang remaja perempuan di Homs, bernama Zainab Al-Husni, 23 tahun, ditangkap dan ingin diperkosa tetapi beliau melawan. Akhirnya beliau dipotong empat dan dihantar kepada keluarganya. Ratusan kanak-kanak turut dibunuh hingga ada yang dipotong-potong.
Beliau menegaskan, ”Apakah kita perlu berdiam diri? Bagaimana kita harus bersabar di atas taghut yang kejam ini!“
Rejim Basyar juga telah memaksa kakitangan kerajaan untuk keluar berdemonstrasi menyokong kerajaan untuk mengaburkan fakta dan memberitahu dunia bahawa rakyat masih menyokong mereka. Kakitangan yang tidak menyokong kerajaan akan hilang pekerjaan mereka.
Katanya, pejuang yang terlibat dalam revolusi akan bersiap, berwuduk dan mandi dengan wangian kerana mereka bersedia untuk mati syahid. Beliau menganggarkan 95% rakyat Syria menentang rejim itu walaupun mereka ditakut-takutkan dan diugut sekiranya turun menyertai revolusi.
Jelasnya, ada maklumat yang silap difahami oleh bukan negara Arab yang menyangka kononnya rejim Basyar sedang menyerang Israel sedangkan mereka tidak pernah menyentuh Israel, tetapi mereka membunuh rakyat mereka sendiri. Malah kapal terbang Israel boleh berada di atas istana Presiden tanpa diambil sebarang tindakan.
“Selama 43 tahun Bukit Golan diduduki oleh Israel tetapi regim Hafez Al-Assad dan ayahnya tidak pernah membunuh walau seorang pun Yahudi, tetapi mereka telah membunuh ribuan penduduk Hama yang terletak hanya enam kilometer dari Bukit Golan.”
“Maka di mana buktinya bahawa rejim yang kejam ini menunjukkan permusuhan ke atas Israel?” tanya beliau.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa terdapat perjanjian rahsia antara Syria dan Israel. Basyar merupakan al-Assad (singa) kepada rakyat mereka tetapi penakut dengan Israel.
Kekejaman rejim Basyar terserlah sehingga jika ada tentera rejim yang tidak mahu menembak ASWJ, mereka akan dipenjarakan dan dibunuh. Keadaan ini menyebabkan lebih 30,000 tentera Syria berpaling tadah meninggalkan rejim.
Beliau seterusnya menyatakan fatwa Rabitah Ulama Syria oleh Dr Ali As-Sobuni bahawa sekiranya tentera menyerang rumah penduduk, mereka hendaklah melawan walau dengan sebilah pisau, dan mereka dihukumkan syahid sekiranya terbunuh berdalilkan hadis berikut:
“Barangsiapa terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid; barangsiapa terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan agamanya, maka dia syahid ”(HR Abu Daud, An-Nasaie dan Tirmizi, disahihkan oleh Al-Albani dan Ahmad dengan sanad yang Sahih).
Sebanyak 18 negara Liga Arab telah bersetuju untuk mengenakan sekatan politik dan ekonomi ke atas Syria sehingga rejim Syria menghentikan kekejaman ke atas rakyatnya. Begitu juga, negara-negara Persidangan Negara-negara Islam (OIC) turut memulau Syria.
Revolusi di Syria bersangkut-paut dengan tiga sebab utama iaitu penindasan rakyat lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain dan kemuncaknya adalah insiden 20 remaja menconteng dinding dengan menulis “RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN”. Remaja-remaja itu ditangkap, diseksa, dicabut kuku, tangan dan kaki, hingga seorang daripadanya meninggal dunia.
Apabila ibu bapa kanak kanak itu datang untuk membebaskan anak-anak mereka dari penjara, ketua polis penjara mengatakan kepada mereka:
"Kamu balik sahajalah, lupakan anak anak-anak itu dan anggaplah mereka telah tiada..., jika kamu hendak anak-anak lagi berikan kami isteri-isteri kamu (agar kami rogol), hasil daripada itulah anak-anak kamu.”
Dari situlah bermulanya demonstrasi yang semakin hari bertambah momentumnya dari hanya ratusan ribu hingga pada hari ini 3 juta demonstran telah mengadakan tunjuk perasaan di 157 bandar seluruh Syria mendesak Basyar berundur. Syeikh Khalid turut menjelaskan tentang pendirian Dr Sa’id Ramadhan al-Buti dalam politik Syria. Menurutnya, Dr Sa’id adalah antara lima orang ulama yang menyokong rejim berbanding 95% ulama yang menentang. Beliau menyifatkan Dr Sa’id sebagai ulama yang 'berilmu' tetapi kurang tajam dalam perspektif politik.
“Tidak hairanlah para pemuda di sana membakar buku-buku karangan beliau. Ramai lagi ulama lain yang menulis buku sirah yang amilin. Jadikanlah ulama-ulama amilin sebagai rujukan,” katanya.
Akhirnya, beliau menyeru umat Islam membantu rakyat Syria, menyeru peranan mufakkir, duat, asatizah untuk mengetengahkan dan sentiasa prihatin tentang isu di Syria, menceritakan kepada masyarakat tentang kezaliman dan apa yang berlaku di Syria.
Beliau turut menyarankan kepada para wanita yang solehah, untuk menceritakan kekejaman yang berlaku kepada saudara perempuan mereka di Syria dan berdoa untuk mereka.
“Hendaklah kamu berdoa untuk saudara-saudara kamu di Syria dengan ikhlas, siang dan malam supaya Allah membantu mereka dan membebaskan mereka daripada kezaliman pemerintah mereka.”
Sebagai penutup, beliau membaca amanat Dr Yusuf al-Qardhawi agar umat Islam menghulurkan bantuan berbentuk kewangan kepada saudara-saudara se-Islam di Syria dalam bentuk zakat dan sedekah untuk keluarga pejuang yang sedang dipenjarakan dan keseluruhan rakyat Syria, lebih-lebih lagi musim sejuk akan datang dan mereka sedang mengalami kekurangan bahan pemanas dan makanan kerana sekatan pemerintah.
Berdasarkan amanat tersebut, kutipan derma dilancarkan bagi membantu rakyat Syria yang tertindas. Kutipan derma dianggarkan berjumlah RM38,000 termasuk mata wang asing seperti USD, Won, NZD, SGD, Rupiah dan Iraq Dinar. VCD 'Syria Revolution' yang dijual IKRAMedia, dengan semua keuntungannya disalurkan kepada Tabung Syria juga habis dalam masa yang singkat.
Program anjuran Jawatankuasa Antarabangsa Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) itu diadakan di Dewan Banquet Universiti Putra Malaysia di sini Selasa lalu dan dihadiri kira-kira 1,000 orang ahli IKRAM. Terdahulu, Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad menyampaikan ucapan mengalu-alukan kehadiran Dr Khalid.
Turut hadir adalah Pengerusi JK Antarabangsa IKRAM Pusat Ustaz Wan Subki Wan Salleh dan Timbalan Pengerusi JK Tarbiah Ustaz Abd Muhaimin Mohd Sahar yang bertugas sebagai penterjemah. Bertindak mengacarakan majlis pada malam itu adalah Yang Dipertua IKRAM Selangor Ustaz Shamsul Maarif Ismail.
Majlis ditutup dengan bacaan doa penuh syahdu seluruh hadirin yang dipimpin oleh Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Pusat Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria.
Mudah-mudahan Allah mengurniakan pertolongan yang seluas-luasnya kepada umat Islam yang sedang dizalimi di Syria, menghancurkan taghut yang zalim dan menggantikannya dengan pemerintahan Islam di sana.



Friday 2 December 2011

Saat Bangsa Arab Dihancurkan Bermula : SHEIKH IMRAN HOSEIN

Kebangkitan Arab atau “Arab Spring” yang sedang berlangsung sekarang tidak dapat tidak pastinya akan menjurus kepada “Islam Spring”.
Bagaikan teori domino…bermula dengan kebangkitan rakyat Tunisia, diikuti dengan Mesir dan negara-negara Arab yang  lain, kemudiannya kemenangan parti Islam an-Nahdah di Tunisia…kemenangan Ikhwanul Muslimin Mesir pasti menyusul, begitu juga dengan parti-parti Islam di negara Arab yang lain akan turut memenangi pilihan raya jika diadakan dengan bebas dan adil…”Islam Spring”  akan merebak ke seluruh dunia Arab.
Namun di sebalik segala “berita gembira” ini sebenarnya sedang tersedia “mimpi ngeri” buat seluruh bangsa Arab. Bagaikan tidak percaya bahawa apa yang sedang berlaku sekarang ini sebenarnya merupakan permulaankepada peristiwa yang akan memulakan kemunculan tanda-tanda “akhir” akhir zaman iaitu kemunculan DAJJAL…yang bermula dengan “penyembelihan” bangsa Arab….keseluruhannya!
“Mimpi ngeri” yang ditakdirkan berlaku kepada seluruh bangsa Arab ini sebenarnya telahpun dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW lebih 1400 tahun dahulu sebagaimana hadis berikut;
Pada suatu hari Nabi telah bangun dari tidur dalam keadaan merah padam wajah Baginda dan bersabda:
“Lailahaillallah. Kecelakaan bagi golongan Arab disebabkan kebinasaan yang hampir menimpa. Pada hari ini telah terbuka benteng Yakjuj dan Makjuj sebesar ini (dan Nabi pun membuat bulatan dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk Baginda).”
Zainab binti Jahsy RA  telah bertanya:
“Apakah kita akan binasa sedangkan masih ramai di antara kita yang soleh?”
Nabi SAW bersabda:
“Ya, apabila kekejian berleluasa.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ikuti ulasan dan kupasan menarik yang lain dari yang lain oleh Sheikh Nazar Hosein:


Wallahualam...


Monday 28 November 2011

50 Tanda Orang Munafik

Dibawah ini di senaraikan 50 sifat dan tanda-tanda orang munafik menurut al-quraan dan hadis rasulullah s.a.w untuk peringatan bersama,di antaranya ialah :


1. Malas beribadah kepada allah.

2. Lupakan kepada allah.

3. Lalaikan solat fardhu.

4. Mempercepatkan mengerjakan solat.

5. Gemar meninggalkan solat berjamaah.

6. Meninggalkan solat jumaat.

7. Melakukan dosa dan kemungkaran secara tersembunyi.

8. Menyuruh yang mungkar dan melarang yang makruf.

9. Menyembunyikan Ilmu pengetahuan.

10. Mengamalkan riak.


11. Hasad dengki.

12. Dusta.

13. Mungkir janji.

14. Bakhil.

15. Fitnah.

16. Mencaci maki.

17. Mengumpat.

18. Mengungkit kembali pemberian kepada seseorang dan menyakiti hatinya.

19. Mengengkari Takdir allah.

20. Mempersendakan kesucian Agama.

21. Enggan berjihad dijalan allah.

22. Menghina sahabat Rasullah.

23. Menyembunyikan persaksian pada jalan yang benar.

24. Menangguhkan pembayaran Hutang.

25. Menipu dalam jual beli.

26. Ghasab(Mengambil Tanah Orang lain tanpa Hak).

27. Duduk dan bercampur dengan orang2 yang memperolokan ayat Allah.

28. Memakan harta anak yatim.

29. Membuka rahsia orang lain.

30. Merasa aman dari murka Allah apabila berbuat dosa.
31. Memanggil orang dengan gelaran yang tidak disukai.

32. Menghalang orang dari mengamalkan ajaran Islam.

33. Suka pada kesesatan dan menyesatkan orang.

34. Bermuka dua (talam dua muka).

35. Menyanjung dan memuji orang tanpa diketahui keadaan sebenarnya.

36. Sombong antara sesama manusia.

37. Suka berbantah dan bertengkar sesama muslim.

38. Melampaui batas yang digariskan oleh Allah.

39. Berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup.

40. Membazir dalam Memanfaatkan Nikmat Allah.

41. Keluh kesah apabila ditimpa musibah.

42. Menghianati sesuatu amanah.

43. Memutuskan hubungan silaturahim.

44. Memecah belahkan perpaduan kaum muslimin.

45. Menghalalkan perkara yang haram.
46. Membuat kerosakan dimuka bumi.

47. Menuduh orang beriman bodoh.

48. Mengubah dan menyalah gunakan ayat2 Allah.

49. Bersumpah dengan selain nama Allah.

50. Merasa gembira apabila musibah menimpa orang beriman.


Friday 18 November 2011

Tanggungjawab anak terhadap ibubapa

Berbuat baik kepada kedua ibubapa merupakan ibadat yang wajib dan kedua besarnya atau mulianya selain dari menyembah Allah SWT. dari segi ajaran agama islam yang merupakan perintah secara langsung dari Allah SWT. Memuliakan kedua ibubapa adalah satu amal yang paling tinggi darjatnya setelah mentahuidkan Allah SWT dan menjauhi daripada menyekutukanNya . Jika kita melanggar kewajipan berbuat baik terhadap keduanya, maka kita telah melakukan dosa kerana melanggar perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam, Surah Al Isra': 23-24

Maksudnya,: "Tuhanmu telah memerintahkan kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduannya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkatan (ah) dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, "Wahai Tuhanku, kasihlah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil."
Hadis Riwayat Abu Hurairah yang bermaksud:

Seorang leleki telah datang kepada Rasulullah SAW Dia berkata; "Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling baik aku dampingi?"

Rasulullah SAW menjawab: "Ibu mu. Dia berkata lagi; "selepas itu siapa?" Rasulullah SAW menjawab: "Ibu kamu." Dia masih bertanya lagi: "Siapa?" Rasulullah SAW menjawab lagi: "Ibu kamu." orang lelaki itu bertanya lagi, "Selepasa itu siapa?" Rasulullah SAW menjawab Bapa kamu".

Mengapa perlunya supaya lebih menyangi ibu kita daripada bapa?. Sebabnya ialah kerana besarnya jasa serta pengorbanan seorang ibu itu terhadap anaknya. Ibulah yang mengandungkan bayi, melahirkan, menyusu, mengasuh, membesarkan hingga mendidik dan dicukupi segala keperluan kita dengan secara ikhlas. Betapa besarnya jasa yang dapat kita berikan kepada ibu kita, namun belum tentu kita dapat menyamai jasa dan pengorbanan yang diberikan oleh seorang ibu.!

Dalam satu maksud hadis yang lain, ' Kerana ibumu memelihara kamu dan ia suka kamu panjang umur, sedang kamu memelihara dia tetapi kamu inginkan dia segera mati".

Pengajarannya:

1. Anak-anak hendaklah menghormati kedua ibu bapa, sejajar dengan pengorbanan yang diberikan oleh kedua ibupapa mereka semasa mereka kecil lagi.Kita juga diperintahkan supaya taat kepada perintah Allah dan selepas itu taat kepada kedua ibubapa.

2. Anak-anak adalah diwajibkan mentaati arahan kedua ibubapanya asalkan arahan itu tidak bertentangan dengan hukum-hukum syarak.

3. Al -Quran dan sunnah memerintahkan mereka supaya berlaku baik ketika berhadapan dan berhubung dengan mereka seperti tidak bercakap kasar atau menggunakan perkataan seperti "Ah", apabila berbicara dengan mereka.
4. Nabi SAW juga mengajar kita supaya anak mengasihi ibu lebih dari bapa kerana pengorbanan seorang ibu yang mengandung serta melahir dan mengasuh anak lebih darpada bapa sehingga menjadi dewasa.

5. Setelah ibubapa lanjut umur atau sudah peringkat tua, anak-anak hendaklah juga melindungi mereka mengikut keperluan dari segi perhatian terhadap mereka terutama sekirnya mereka kurang berada, uzur dan seumpamanya. Hubungkan silaturrahim dengan mereka dan tunjukkan yang kita terhutang budi kepada mereka dan mengamalkan amalan masyarakat penyayang.

6. Pada setiap masa kita hendaklabh mendoakan mereka sama ada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia khususnya selepas solat dengan doa. ( Wahai Tuhanku, kasihlah mereka keduanya sebagaimana mereka kedua telah mendidik aku waktu kecil)

7. Jauhkan diri kita bersikap kurang sopan, berkelakuan yang menyinggung perasaan dan berlaku durhaka terhadap mereka, kerana seseorang anak yang durhaka itu tidak akan mencium bau syurga.
Menghormat kedua ibubapa sesuai dengan jasa serta pengorbanan mereka melahir dan mendidik kita sehingga dapat menikmati hidup di dunia walaupun sementara dan kemudiannya akan dapat hidup semula di akhirat dengan balasan syurga jika kita mentaati perintah-perintah yang disyariatkan kepada kita. Sifat kasih sayang terhadap kita merupakan sifat semula jadi yang ditanamkan oleh Allah SWT di dalam jiwa mereka. Di atas pengorbanan yang besar mereka lakukan, maka sebab itulah kita diwajibkan supaya berbuat baik terhadap mereka.

Berbuat baik terhadap kedua ibubapa meliputi bidang yang luas. Secara umumnya ialah anak-anak perlu menunaikan apa yang dianggap baik terhadap mereka berdua berpandukan ajaran Islam. Rasulullah SAW pernah bersabda":

1. " Berbakti kepada kedua ibubapa lebih utama dari solat, sedekah, puasa, haji dan jihad di jalan Allah".

2. "Apabila seorang lelaki memandang wajah ibu bapanya dengan penuh hormat serta kasih dan mesra, maka Allah menuliskan baginya dari sebab memandang itu pahala sebesar ibadat Haji yang makbul dan diterima Allah".
3. "Keredhaan Allah di dalam keredhaan orang tua dan kebencian Allah di dalam kebencian orang tua"

(Hadis ini memberi maksud supaya kita sentiasa berusaha menyukakan hati kedua ibubapa kita dan menjauhkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kemarahan atau berkecil hati disebabkan perbuatan yang dilakukan terhadapnya. Kerana seperti hadis Nabi di atas, terang sekali bahawa Allah SWT sentiasa gembira dan murka di samping kegembiraan dan kemarahan orang tua kita.)

Menurut ajaran agama kita antara ibu dan bapa, pihak ibulah yang patut kita utamakan lebih dari pahak bapa. Sabda Rasulullah SAW.

5. "Syurga terletak di bawah tapak kaki ibu"

6. "Orang yang paling tinggi haknya kepada anak ialah ibu"

7. " Jika ibu dan bapamu memanggil kamu datanglah lebih dahulu kepada ibumu".


Begitulah besar dan mulianya kita taat dan berbuat baik kepada kedua ibubapa kita dengan mendatangkan pahala yang besar dan bahkan kita juga mendapat pelbagai ganjaran anatra lain:

1.Memuliakan kedua ibubapa adalah satu amalan yang amat disukai Allah SWT, yang menyamai pahala jihad di jalan Allah.

2. Memuliakan kedua ibubapa menjadi jaminan dan syarat bagi kita memasuki syurga.

3. Memuliakan kedua ibu bapa menyamai pahala haji dan umrah.

4. memuliakan kedua ibubapa menghasilkan keredhaan Allah SWT.

5. memuliakan kedua ibubapa menambahkan umur yang berkat dan memberkatkan harta dan rezeki.

6. Memuliakan kedua ibubapa akan menyebabkan kita perolehi anak-anak yang soleh dan tahu berbakti kepada kita..
Sabda Rasulullah SAW.

"Berbaktilah kepada kedua ibu bapamu supaya berbakti kepadamu kelak anak-anakmu"

Insya Allah...


Thursday 3 November 2011

7 Sunnah Nabi Yang Patut Diamalkan

Tujuh Sunnah Rasulullah yang perlu diamalkan ialah :


Solat Tahajjud

Solat Tahajjud ialah solat apabila terjaga daripada tidur malam. Sebaik-baiknya 1/3 malam yang terakhir iaitu dalam lingkungan jam 3 atau 4 pagi. Jumlah rakaat sekurang-kurangnya 2 rakaat. Di antara fadhilatnya :

  1. Mendapat pengawasan Allah dan menampakkan kesan ketaatan di wajahnya.
  2. Dikasihi oleh para ahli ibadah dan org mukmin.
  3. Percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.
  4. Dimudahkan hisab ke atasnya.
  5. Mendapat catatan amal dari tangan kanan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji. (Al-Isra : 79)

Membaca Al-Qur'an Sebelum Terbit Matahari

Membaca Al-Quran merupakan salah satu sunnah Rasulullah terutamanya membaca Al-Quran pada waktu sebelum terbitnya matahari. Besar pahala bagi orang yang mebaca Al-Quran dan mentadabbur isinya. Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan jangan dijadikan Al-Quran sebagai bacaan bacaan sahaja. Jadikan Al-Quran sebagai bacaan, panduan dan membudayakan Al-Quran dalam setiap perkara dalam kehidupan kita. 

Firman Allah SWT yang bermaksud :“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan Yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita Yang mengembirakan orang-orang Yang beriman Yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala Yang besar.” (Al-Isra : 9)

Jangan Tinggalkan Masjid

Solat yang lebih baik adalah solat berjamaah di masjid, kerana pahala orang yang solat berjamaah di masjid sangat besar dan pahalanya dikira pada setiap langkahnya ke masjid dan ia juga akan memperolehi pahala berjamaah sebanyak 27 pahala. 

Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :"Sungguh, alangkah ingin aku menyuruh (para sahabat) melakukan solat, dan aku suruh seseorang untuk mengimaminya, kemudian aku pergi bersama beberapa orang yang membawa beberapa ikat kayu api menuju (rumah) orang-orang yang tidak ikut solat berjemaah, untuk membakar rumah mereka dengan api."

Jaga Solat Dhuha

Solat Sunat Dhuha adalah solat yang yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah kepada umatnya, kerana solat sunat Dhuha ini banyak kelebihannya. Di antara kelebihannya ialah pintu rezeki dibuka dan dimurahkan rezeki. Waktu solat sunat Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir. 

Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Jaga Sedekah

Sedekah ialah seseorang itu mengorbankan sedikit hartanya untuk diberikan kepada orang yang memerlukan dengan hati dan perasaan yang ikhlas kerana Allah. Bagi orang yang rajin bersedekah, Allah akan gandakan setiap sedekahnya dengan rezeki yang melimpah. 

Firman Allah yang bermaksud :“Dan jangan sekali-kali orang-orang Yang bakhil Dengan harta benda Yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka Bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. bahkan ia adalah buruk bagi mereka. mereka akan dikalongkan (diseksa) Dengan apa Yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. dan bagi Allah jualah hak milik Segala warisan (isi) langit dan bumi. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan Segala Yang kamu kerjakan. (mukjizat) Yang nyata dan Dengan (korban) Yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang Yang benar (dalam apa Yang kamu dakwakan itu)?" (Al-Imran : 180)

Jaga Wudhuk Terus Menerus

wudhu adalah salah satu cara untuk menyucikan diri dari hadas kecil. Orang yang menjaga wuduknya akan disayangi oleh Allah. 
Kata khalifah Ali bin Abu Thalib :"Orang yang selalu berwudhuk senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Istighfar Setiap Masa 

Istighfar ialah memohon keampunan dari Allah atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan dan berjanji kepada Allah tidak akan mengulangi kesalahan tersebut. 

Firman Allah yang bermaksud :“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang Engkau (Wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (Al-Anfal : 33)

Marilah kita sebagai seorang muslim yang beriman berusaha untuk sentiasa mengamalkan 7 sunnah yang diajar dan dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tersebut selagi hayat kita,demi menggapai keredhaan Allah SWT dalam meniti arus kehidupan dunia dan akhirat khususnya....Wallahualam...