Thursday, 11 August 2011

Menggapai Maghfirah Allah Dalam Bulan Ramadan


Hari dan detik berlalu dalam bulan Ramadan,Kita sudah menghampiri pertengahan bulan yang penuh keberkahan ini.Tetapi,sejauh mana kita berjaya mendidik hati-hati kita ?


Apakah kita semakin merasai kelazatan dalam beribadah ? Apakah kita semakin merasai penderitaan insan yang kurang bernasib baik yang hidup mereka bak kata pepatah kais pagi makan pagi kais petang makan petang ? Apakah kita semakin peka akan kedahagaan kasih sayang seorang anak kecil yang kematian ibu dan ayah ? Apakah kita semakin merasakan kekurangan dan kelemahan diri kerana taubat yang kita pohonkan masih tidak setimpal dengan dosa dan kemungkaran yang kita lakukan ?

Atau .....

Apakah kita masih ditakuk lama ? Bersenang-senang dengan dosa dan kemungkaran. Apakah kita masih merasakan diri kita insan suci yang bakal melangkah pintu syurgawi ? Atau apakah kita masih berlazat-lazat dengan maksiat dan merasakan ibadah ini hanya suatu rintangan untuk mengecapi nikmat duniawi yang hanya seketika ? 

Seandainya scenario pertama yang kita rasai, maka bersama-samalah kita sujud syukur ke hadrat Ilahi kerana menganugerahkan kita dengan rasa kehambaan untuk terus mentaati-Nya. Berdoalah kepada-Nya agar perasaan dan kekuatan beramal ini akan berterusan dan istiqamah. Agar kembalinya kita menghadap Allah dalam hati yang tenang. Mendapat keredhaan-Nya dan keampunan-Nya.

Sebaliknya, jika scenario kedua yang kita alami. Sedarlah bahawa masih belum terlewat untuk kita merebut peluang di Ramadhan yang mulia ini untuk berubah. Tingkatkanlah azam dan paksalah hati untuk mengorak langkah ke arah kejayaan. Gunakanlah masa yang terluang untuk berzikir, berselawat dan membaca Al Quran. Hiasilah malam mu dengan Tahajud, Tasbih dan Taubah. Raikanlah fakir miskin dan anak yatim piatu. Korbankanlah masa dan wang ringgit, agar si fakir dan si yatim, terukir senyuman di hari lebaran. Hari lebaran yang bakal menjelang mungkin merupakan hari kesedihan buat insan malang. Kerana di hari lebaranlah kenangan bersama insan tersayang yang telah menemui Ilahi datang menggamit. Tatkala kita bersuka-ria, mereka bermuram durja dan ada yang berendam di dalam linangan air mata. 
Oleh itu, lakukanlah perubahan ini dengan hati yang ikhlas dan rendah diri sambil mengharap pimpinan dari Ilahi. Agar amalan-amalan ini dinilai Allah sebagai amal taqwa di akhirat nanti. Dengannyalah nanti yang bakal menyelamatkan kita dari menjadi bakaran api neraka. 

Perbanyakkanlah taubat, kerana jalan taubat saja syarat penyucian dosa yang kita lakukan. Dosa yang dilakukan ada dua jenis. Pertama dosa dengan Allah. Kedua, dosa sesama manusia.

Wallahualam...

No comments:

Post a Comment