Friday 29 July 2011

Renungan Bersama Sebab Atau Tanda Hati MATI.



1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.




Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;
1. Hubbun dunia (kasihkan dunia)
2. Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
3. Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat
kepada Allah.

Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya:

Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.


Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;
1. Zuhud dengan dunia
2. Zikrullah
3. Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah



Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar agar segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.


Wallahualam....



Sunday 24 July 2011

ENAM Pertanyaan Imam Al-Ghazali Kepada Anak Muridnya

Pada suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul bersama anak-anak muridnya, lalu Imam Ghazali bertanya :


1. Soalan Pertama : "Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ? ".


 Anak-anak muridnya menjawab : " Ibu Bapa, Guru, Kawan dan Sahabat ". Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan itu adalah benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah ''Mati ". Sebab itu Allah S.W.T menjanjikan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Al-Imran 185)


2. Imam Al-Ghazali bertanya lagi kepada anak-anak muridnya soalan kedua : "Apakah yang paling jauh dengan kita ? ".


Lalu anak-anak muridnya menjawab : " Negara China, Bulan, Matahari dan Bintang-bintang " . Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang mereka berikan tersebut adalah benar. Tetapi yang paling jauh dengan kita adalah " Masa Lalu ". Walau dengan apa cara sekalipun kita lakukan, kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu, kita harus menjaga hari ini dan hari-hari mendatang dengan perbuatan yang bermanafaat dan sesuai dengan ajaran agama Islam.

3.Imam Al-Ghazali meneruskan teka-tekinya dengan menanyakan soalan yang ketiga : " Apakah yang paling besar di dunia ini ?".

anak muridnya menjawab : " Gunung, Bumi dan Matahari ". Semua jawapan itu adalah benar kata Imam Al-Ghazali, akan tetapi yang paling besar di dunia adalah " Nafsu " (Al-'Araf 179). Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita. Jangankan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

4. Pertanyaan keempat adalah : "Apakah yang paling berat di dunia ini ?". 

Ada anak-anak murid Imam Al-Ghazali menjawab : " Besi dan Gajah ". Betul jawapan tersebut kata Imam Al-Ghazali. Akan tetapi yang paling berat adalah " Memegang Amanah " (Al-Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, Binatang, Gunung-ganang, Bukit-bukau dan Malaikat, semuanya tidak mampu dan menolak ketika mana Allah S.W.T meminta mereka untuk menjadi khalifah (Pemimpin) di dunia ini. Akan tetapi, manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah S.W.T sehinggakan kebanyakan manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memikul amanahnya.

5. Imam Al-Ghazali menanyakan soalan yang kelima : " Apakah yang paling ringan di dunia ini ?". 

Lalu ada yang menjawab :" Angin, Kapas, Debu dan daun-Daunan". Semua itu benar kata Imam Al-Ghazali. Tetapi yang peling ringan di dunia adalah " Meninggalkan Solat ".Gara-gara kerja seharian kita meninggalkan solat dan juga gara-gara berorganisasi, kita meninggalkan solat.


6. Dan soalan terakhir yang dikemukan oleh Imam Al-Ghazali: " Apakah yang paling tajam di dunia ini ?".

Anak-anak muridnya serentak menjawab : " Pedang ". Benar kata Imam Al-Ghazali. Tetapi yang paling tajam adalah " Lidah Manusia ". Disebabkan lidahlah manusia selalunya menyakiti dan melukai perasaan saudaranya sendiri.


Wallahualam..

Thursday 21 July 2011

Peringatan untuk diri yang lalai

Hai Diri semakin lupa dengan dengan kehidupan akhirat dan sentiasa terpedaya dengan kehidupan dunia yang semantara sedangkan hakikat kehidupan dunia adalah seperti apa yang digambarkan oleh Allah swt:

“ Dan kehidupan dunia adalah semata-mata keseronokan dan bermain-main. Dan sesungguhnya kehidupan yang sebenar adalah kehidupan akhirat. Ini sekiranya mereka benar-benar mengetahui”


Orang yang benar-benar mengetahui tentang kehidupan akhirat tidak tertipu kehidupan dunia yang melekakan. Orang yang jahil adalah yang tertipu dengan kehidupan dunia, ini menunjukkan diri ini amat jahil oh tuhan.

Saat-saat kematian semakin menghampiri tetapi diri ini sentiasa lalai untuk mendapat amal akhirat. Apabila mendapat nikmat dunia, rasa seronok sehingga terlanggar perintahnya dan meninggalkann ketaatan sedikit demi sedikit. Apabila Allah menguji dan menarik nikmat tersebut, amat sedih dengan kehilangan nikmat dunia tetapi sebenarnya Allah hendak mengembalikan diri ini kepadanya.

Bersedihlah dengan kehilangan amal akhirat bukannya kehilangan dunia. Ingatlah Allah ingin member I peluang untuk kembali kepadanya sebelum datangnya saat kematian. Rebutla peluang ini sebaik-baiknya sebelum terlambat. Nabi saw bersabda:

“Bersegeralah kamu beramal sebelum datangnya tujuh perkara:

1. Adakah kamu menanti sehingga kamu fakir yang menyebabkan kamu lupa.

2. Adakah kamu menanti sehingga kamu kaya sangat yang menyebabkan kamu melampaui batas.

3. Adakah kamu menanti sehingga kamu sakit yang merosakkan badan kamu.

4. Adakah kamu menanti sehingga kamu tua yang melemahkan kamu.

5. Adakah kamu menanti sehingga mati yang semakin menghampiri kamu.

6. Adakah kamu menanti sehingga tibanya dajal. Dajal adalah seburuk2 benda gaib yang dinanti.

7. Adakah kamu menanti sehingga datangnya kiamat. Kiamat adalah perkara yang menakutkan dan amat pahit.”

Hadis riwayat imam Tirmizi.


Ingatlah wahai diri bahawa setiap apa yang kamu buat akan dihisab oleh tuhan. Jangan seronok dan leka melakukan apa saja tanpa sedar Allah murka dengan dirimu. Firman Allah swt:

“Adakah manusia meyangka dia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa dihisab dan dibalas)?”

Ayat 36 surah al-Qiamah

Ingatlah kematian sentiasa mengekori mu. Setiap saat masa berlalu semakin hampir i dan akhirnya kamu pasti akan bertemu dengannya. Firman Allah swt:

“ Katakanlah hai Muhammad, sesungguhnya kematian yang mana kamu lari daripadanya , ia pasti akan menemuimu.”

Ayat 8 surah al-Jumaah

Walaupun diri sentiasa melihat kematian tetapi mengapa tidak menambahkan keimanan kamu dan mendekatkan diri dengan akhirat. Ini adalah hati yang keras dan hati yang lalai dalam ibadah. Firman Allah swt:

“ Maka celakalah bagi orang-orang yang keras hatinya daripada mengingati Allah. Mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata.”

Ayat 22 surah az-Zumar.


Hati yang keras ini adalah hanya layak untuk neraka sahaja. Allah sentiasa bertanya bilakah hati ini hendak khusyuk kepada tuhan dan patuh segala perintahnya. Firman Allah swt:

“ Bukankah sudah sampai masa bagi orang-orang beriman untuk tunduk khusyuk mereka kepada mengingati Allah dan patuh dengan kebenaran yang Allah telah turunkan…”

Ayat 16 surah al-Hadid

Adakah setelah malaikat mencabut nyawa baru hendak menyesali terhadap perbuatan-perbuatan yang melampau di dunia. Ketika itu tidak ada gunanya. Nasi sudah busuk (jadi bubur sedap lagi). Firman Allah swt:

“ Sehinggalah datang kematian kepada salah seorang mereka. Dia berkata : Hai tuhanku kembalikan aku ke dunia, supaya aku dapat beramal soleh yang mana telah aku tinggalkan. (jawapan tuhan) Tidak sama sekali, itu hanya ucapan yang diucapkan (tidak ada gunanya) dan mereka akan melalui alam barzakh sehinggalah hari mereka dibangkitkan.”

Ayat 99,100 surah al-Mukminun


Ingatlah wahai diri sehebat mana ilmu, sebesar mana mahligai mu, setingga mana pangkat mu, sebanyak mana pengawal mu; itu semua tidak menghalang malaikat maut untuk mencabutn nyawamu. Firman Allah swt:

“ Dimana sahaja kamu berada, pasti kematian akan menemuimu sekalipun kamu berada di dalam bangunan-bangunan yang kukuh dan terkawal.”

Ayat 78 surah an-Nisa


Bila mana kamu sudah ingat mati dan menyesal terhadap perbuatan-perbuatan yang lampau; Ingat penyesalan sahaja tidak berguna, diri ini kena bangun beramal dan tidak hanya berazam tanpa ada perlaksanaan. Nabi saw bersabda:

“ Orang yang cerdik adalah orang yang sentiasa bermuhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati. Orang yang lemah adalah orang yang sentiasa mengikut hawa nafsunya dan hanya berangan-angan Allah akan membalasnya dengan syurga (sedangkan tidak beramal).”

Hadis riwayat Imam al-Hakim

Ya Allah banyaknya dosa hamba mu ini dan sedikit amalan akhirat.

Amalan yang sedikit entah mencakupi syarat ikhlas atau tidak,

Hati ini semakin jauh dari mu, oleh itu bersihkanlah hati ini dan isilah dengan cahaya-cahaya iman,

Aku tidak peduli samada manusia mengasihi atau membenci, asalkan engkau menerimaku kembali.

Ya Allah sekiranya mati ini lebih baik untuk mengelakkan fitnah dunia dan baik untuk agamaku cabutlah nyawa ini dalam keadaan engkau reda kepadanya.

Sekiranya hidup ini lebih baik untuk menyumbang terhadap agamamu dan menambahkan amal baikku panjangkanlah umurku dalam keredaanmu.


Tuesday 5 July 2011

Tuntutan Solat Fardhu Berjamaah Menurut Al-Quran


(1)Tuntutan berjama`ah pada solat fardhu, thabit dengan dalil-dalil Al-Qur'an:

Menurut Al-Qur'an;

Firman Allah S.W.T.:

أقِيْمُـوْا الصَـلوةَ وَءاتُوْا الزَكَـوةَ واركَعُـوْا مَعَ الرَّاكِعِـيْنَ
bermaksud:

"Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat serta ruku`lah bersama orang-orang yang ruku`"(Al-Baqarah 2 : 43)

Maksud ruku` bersama orang-orang yang ruku` ialah tuntutan supaya solat fardhu di lakukan secara berjama`ah.

FirmanNya lagi:

وَإذَا كُنْتَ فِيْهِمْ فَأقَمْتَ لَهُم الصَّـلاَة
bermaksud: 

"Dan jika engkau (hadir) bersama mereka, maka dirikanlah bersama mereka solat ..."
(Al-Nisa' 4 : 102)

Pengajaran dari ayat-ayat di atas ialah bahawa jika solat dalam masa perang dituntut berjama`ah, maka tuntutan dalam suasana damai lebih aula (lebih kuat tuntutannya).

(Al-Zuhailiyy Al-Feqh Al-Islamiyy Wa Adillatuh)



FirmanNya lagi:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللّهِ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ سورة التوبة: الآية: 18.
bermaksud: 

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”. (at-Taubah : 18)

Solat berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Solat berjemaah menzahirkan syiar Islam dan memupuk semangat perpaduan di kalangan muslimin. Kerana inilah ia perlu dihidupkan dalam kehidupan seharian kita, selaku insan bergelar muslim.


Wallahu'alam....


Friday 1 July 2011

10 Golongan yang Mayatnya Tidak Busuk dan Tidak Reput

Disebutkan didalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAK BERCAKAP.

Bertanya sahabat kepada Rasulullah SAW : "Bagaimana kita dapat mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari qiamat?" Maka jawabnya Rasulullah saw, "Umat dikenal kerana WAJAH mereka putih disebabkan oleh WUDHU'. "Bila qiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud. Bekas SUJUD tidak dihilangkan.

Maka memanggillah dari zat yang memanggil. Bukanlah debu itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah debu KEIMANAN mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian Siratul Mustaqim dan memasuki alam syurga, sehingga setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayan Ku dan hamba-hamba Ku. Disebutkan oleh hadith Rasulullah SAW bahawa Sepuluh Golongan yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal diwaktu mati:


1. Para Nabi
2. Para Ahli Jihad
3. Para Alim Ulama
4. Para Syuhada
5. Para Penghafal Al Quran
6. Imam atau Pemimpin yang Adil
7. Tukang Azan
8. Wanita yang mati kelahiran/beranak
9. Orang mati dibunuh atau dianiaya
10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu dari kalangan orang yang beriman.


Didalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah ra sabda Rasulullah saw: Apabila datang hari qiamat dan orang orang yang berada di dalam kubur dibangkitkan maka Allah SWT memberi wahyu kepada Malaikat Ridhwan: Wahai Ridhwan, sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hamba-hamba Ku berpuasa (ahli puasa) dari kubur mereka di dalam keadaan letih dan dahaga. Maka ambillah dan berikan mereka segala makanan yang digoreng dan buah buahan syurga.

Maka Malaikat Ridhwan menyeru, wahai sekalian kawan-kawan dan semua anak-anak yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa dulang dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang yang penuh dengan buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat banyak melebihi daun-daun kayu di bumi. Jika Malaikat Ridhwan berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka sambil mengucap sebagaimana yang difirman oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Haqqah bermaksud "Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan AMAL yang telah kamu kerjakan pada HARI yang telah LALU itu."

Semoga kisah ini menjadi pendorong kepada kita semua untuk melakukan amal kebaikan. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati.

"Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan." Surah Al-Baqarah : 237